Krisis Ukraine: Perlindungan Terhadap Wanita, Kanak-Kanak Perlu Diutamakan

2022-04-12 15:27:50  CRI
Share with:

China menyeru agar krisis Ukraine ditamatkan seawal mungkin demi menjamin keselamatan golongan wanita dan kanak-kanak.


Naib wakil tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Dai Bing berkata golongan terbabit merupakan yang paling mudah terdedah kepada keganasan, harus diberi perlindungan prioriti dalam konflik bersenjata.


"Pihak-pihak terbabit perlu mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa, di samping menjamin keselamatan kemudahan seperti sekolah, hospital dan prasarana awam yang lain.


"Selain itu, penjagaan khas perlu diberi kepada golongan itu dalam proses pemindahan, operasi mencari dan menyelamat, serta bantuan perubatan," katanya dalam sesi perbahasan Majlis Keselamatan PBB (UNSC) berhubung isu wanita dan kanak-kanak di Ukraine, pada Isnin.


Beliau turut mengulangi pendirian China yang menyokong Rusia dan Ukraine meneruskan rundingan bagi menangani percanggahan, sekali gus mencipta suasana kondusif untuk mewujudkan gencatan senjata.


Dai juga mengingatkan bahawa tindakan mengetatkan sekatan dan membekalkan senjata tidak akan membawa kedamaian.


"Sekatan yang ketat telah menyebabkan krisis bahan makanan dan tenaga, serta lonjakan harga barang keperluan harian.


"Rakyat dunia juga terpaksa menanggung padahnya, antaranya puluhan juta wanita dan kanak-kanak di Afghanistan, Yaman, Afrika dan wilayah Sahel menjadi mangsa," tambah beliau.