Senjatakan Hak Asasi Manusia, AS Ancaman Sebenar Dunia
12 April merupakan hari yang menyayat hati bagi rakyat Amerika Syarikat (AS). Pada pagi hari itu, seorang ibu mengandung berusia 28 tahun, seorang kanak-kanak berusia 12 tahun dan lebih 20 lagi orang awam menjadi mangsa insden tembakan rambang yang berlaku di stesen kereta api bawah tanah Brooklyn di New York. Lantai platform diselimuti darah dan suara tangis kedengaran di stesen itu.
Hampir pada masa yang sama, Jabatan Negara AS mengeluarkan apa yang dipanggil 'Laporan Negara Mengenai Hak Asasi Manusia 2021', yang seperti terdahulu mengkritik situasi hak asasi manusia di hampir 200 negara di seluruh dunia. Sudah tentu, ia tidak menyebut sedikit pun tentang situasi hak asasi manusia di negaranya sendiri.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, daripada perang di Iraq, Afghanistan dan Syria, kepada 'revolusi warna' di Eropah Timur dan kawasan Balkan, AS menggunakan 'senjata hak asasi manusia' di serata tempat dan mengakibatkan banyak malapetaka kemanusiaan.
Hipokrit dan penggunaan senjata hak asasi manusia ala AS telah mencetuskan kemarahan di persada antarabangsa.
Menteri Luar Cuba Rodriguez menyatakan bahawa AS menggunakan hak asasi manusia sebagai alat untuk memanipulasi dan menakut-nakutkan negara yang tidak mengikut Washington.
Akhbar The Times of India menerbitkan rencana yang menyatakan bahawa memandangkan siri masalah domestik di AS dan dwi standardnya dalam mengendalikan situasi hak asasi manusia negara lain, "kepalsuannya amat menjijikkan".
Pada 1980-an, bekas penasihat keselamatan negara AS, Zbigniew Brzezinski dalam bukunya menyebut "melalui tindakan menekankan hak asasi manusia, AS boleh sekali lagi menjadikan dirinya sebagai bintang harapan insan dan peneraju trend semasa". Namun hakikatnya adalah sebaliknya. AS yang menggunakan 'senjata hak asasi manusia', sedang memusnahkan harapan manusia, menyekat arah aliran masa depan, dan menjadi ancaman sebenar kepada dunia ini.