Draf Pindaan Undang-undang Kesukanan Dibahas Lagi

2022-04-18 17:21:45  CRI
Share with:

Draf pindaan undang-undang kesukanan sekali lagi dibahaskan dalam sesi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) yang berlangsung hari ini.

Sesi perbahasan itu turut memberi respons kepada beberapa isu yang menjadi tumpuan masyarakat termasuk kesihatan remaja, kawal selia acara pertandingan sukan dan usaha anti-doping.

Terdahulu, draf pindaan undang-undang kesukanan telah disiarkan NPC untuk mengumpul usul daripada masyarakat.

Dalam pada itu, terdapat usul yang mencadangkan supaya perkhidmatan sukan untuk masyarakat awam diperkasakan lagi, selain memastikan hasil perkembangan sukan dapat dinikmati semua rakyat.

Naib Pengerusi Jawatankuasa Perlembagaan dan Undang-undang NPC, Xu Hui berkata, fasal pindaan tersebut telah menggariskan usaha ke arah mempertingkat kekuatan fizikal untuk rakyat, selain memperkasakan perkhidmatan sukan yang bersifat kebajikan dan asas.

Menyentuh tentang cadangan bagi mempertingkat kekuatan fizikal dan menjaga kesihatan mata golongan remaja, Xu berkata sinergi perlu dibentuk antara jabatan pendidikan, pihak sekolah dan ibu bapa untuk membimbing golongan terbabit menyertai aktiviti sukan, bagi mencegah berlakunya rabun jauh dan obesiti.