Singapura, New Zealand Komited Perkasa Kerjasama Ekonomi Hijau

2022-04-19 17:31:20  CRI
Share with:

Singapura dan New Zealand komited memperkasakan kerjasama dalam usaha menangani perubahan iklim dan pembangunan ekonomi hijau, sebagai tonggak kelima bagi memperkukuh hubungan perkongsian antara kedua-dua negara.

Komitmen itu dizahirkan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong bersama rakan sejawatnya dari New Zealand, Jacinda Ardern yang sedang mengadakan lawatan di Singapura.

Lee Hsien Loong berkata, kerjasama itu akan terlebih dahulu menumpukan kepada teknologi transformasi tenaga, pasaran perniagaan karbon, pengangkutan lestari dan pengurusan sampah sarap.

Jacinda Ardern pula berkata, pemimpin kedua-dua negara mengekalkan komunikasi rapat dan saling menyokong dalam tempoh penularan pandemik COVID-19, di samping mengemukakan cadangan bagi menjamin keselamatan bahan makanan dan kemantapan rantaian bekalan.

Terdahulu, kedua-dua negara telah memeterai perjanjian mengenai jalinan perkongsian lebih kukuh berteraskan empat tonggak utama, iaitu perdagangan dan ekonomi, keselamatan dan pertahanan, sains dan inovasi serta pertukaran kalangan rakyat.