Taman Botani Negara China Kini Dibuka

2022-04-19 14:44:40  CRI
Share with:


Taman Botani Negara China yang dibina secara bersama oleh Institusi Botani Akademi Sains China dan Taman Botani Beijing secara rasminya dibuka di sini, pada Isnin.

 

Dengan keluasan sehingga 600 hektar, taman tersebut dijangka akan menjalinkan hubungan kerjasama dengan taman botani dan institut sektor berkenaan dari lebih 100 buah negara, sekali gus membentuk wahana kerjasama, perkongsian dan interaksi komprehensif antarabangsa.

 

Menurut Naib Ketua Biro Pemeliharaan Haiwan dan Tumbuhan Liar Jabatan Pentadbiran Hutan dan Padang Rumput Kebangsaan, Zhou Zhihua, sistem taman botani negara akan terus dipergiat.

 

Jelas beliau, ia adalah untuk mencapai matlamat perlindungan terhadap 85 peratus tumbuhan liar tempatan dan kesemua spesies tumbuhan liar dalam senarai perlindungan utama di China.

 

Terdahulu pada Oktober 2021, China mengemukakan rancangan pembinaan sistem taman botani negara di Beijing dan Guangzhou sempena Sidang Kemuncak Persidangan Ke-15 Pemeterai Konvensyen Kepelbagaian Biologi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (COP15).

 

Justeru, penubuhan Taman Botani Negara merupakan susulan kepada langkah pelaksanaan rancangan tersebut.

 

Untuk rekod, China merupakan antara negara dengan kepelbagaian tumbuhan paling banyak di seluruh dunia dengan melebihi 37 ribu spesies tumbuhan peringkat tinggi yang sudah dikenalpasti.

 

Menerusi penubuhan Taman Botani Negara, usaha perlindungan kepelbagaian biologi di China dilihat dapat diintensifkan lagi.