Ekonomi China Kekal Mantap Biar Berdepan Ujian

2022-04-19 14:46:40  CRI
Share with:

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China mencatat RMB27.017 trilion (RM17.99 trilion) pada suku pertama 2022, meningkat 4.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas, menurut Biro Statistik Negara (NBS).

Secara keseluruhannya, ekonomi China terus pulih pada suku tahun pertama, dengan petunjuk utama berada dalam julat munasabah.

Ia sekali gus menyuntik elemen kestabilan kepada ekonomi dunia yang tidak menentu.

Prestasi tersebut tercapai susulan inisiatif kerajaan yang menyelaraskan perjuangan melawan wabak dengan usaha memacu pertumbuhan sosioekonomi.

Perusahaan China turut memanfaatkan kelebihan kendiri untuk memajukan pembangunan menerusi inovasi.

Laporan iklim perniagaan disiarkan Dewan Perniagaan AS di China (AmCham China) pada Mac mencerminkan China masih merupakan salah satu daripada tiga destinasi utama bagi 60 peratus syarikat yang merancang pelaburan global buat masa ini.

Menurut laporan itu, sebanyak 66 peratus syarikat asing merancang menambah penanaman modal di China tahun ini.

Pada masa sama, China terus berusaha untuk memastikan rantaian perindustrian global beroperasi secara stabil walaupun berdepan kesulitan.

Pada suku pertama, dagangan luar China menokok lebih 10 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas, menyaksikan pertumbuhan positif selama tujuh suku tahun berturut-turut.

Unsur-unsur ketidaktentuan dalaman dan luaran menyebabkan pertumbuhan beberapa petunjuk ekonomi utama menjadi perlahan.

Namun jika dilihat dari perspektif jangka panjang, ekonomi China mampu mengekalkan trend pemulihan didorong potensinya yang besar serta ketahanan tinggi.