Semangat Kejiranan Dijunjung Presiden China

2022-04-20 13:28:29  CRI
Share with:

Presiden China, Xi Jinping sentiasa menekankan tentang semangat kejiranan dalam ucapan beliau semasa mengulas konsep dasar luar China terhadap negara-negara jiran.

Malah, berpaksikan semangat kejiranan tersebut sejak 2013, China turut melakar banyak pencapaian dalam usaha membentuk komuniti berkongsi nasib yang semakin erat dengan negara-negara jiran.

Pada April 2013, iaitu ketika sidang tahunan Forum Asia Boao, Xi menghuraikan konsep kerjasama serantau dalam ucaptamanya. Acara ini merupakan aktiviti diplomatik kali pertama yang dihadiri beliau setelah menjawat jawatan sebagai presiden China.

Pada Ogos 2014, Presiden Xi menegaskan peri pentingnya semangat kejiranan dalam ucapan beliau semasa mengadakan lawatan ke Mongolia.

Selain itu, Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) yang mendapat sokongan masyarakat antarabangsa juga dikemukakan oleh Presiden Xi ketika mengadakan lawatan ke Kazakhstan dan Indonesia pada 2013.

Pada sidang tahunan Forum Asia Boao 2015, Presiden Xi menegaskan inisiatif tersebut kondusif bagi kepentingan bersama pelbagai pihak dan selari dengan keperluan pembangunan China, negara-negara yang terlibat dalam BRI dan serantau.

Ketika menyampaikan ucaptama pada majlis perasmian Persidangan Dialog Tamadun Asia pada Mei 2019, Presiden Xi menzahirkan harapan agar pelbagai negara Asia menjunjung konsep keterbukaan bagi mendorong koordinasi dasar, perhubungan kemudahan, kelancaran perdagangan serta aliran modal dan pertukaran antara rakyat, sekali gus membentuk komuniti berkongsi nasib Asia dan sesama insan.

Pada sidang kemuncak sempena ulang tahun ke-30 hubungan dialog China-ASEAN pada November 2021 pula, Presiden Xi menyarankan China dan ASEAN untuk bertanggungjawab secara bersama memelihara kedamaian dan keamanan serantau, selain turut berwaspada dan menentang muslihat geopolitik daripada kuasa luar.

"China tegas menentang amalan hegemoni dan tindakan politik kuasa, sebaliknya bersedia menjalinkan ikatan muhibah jangka masa panjang dengan negara jiran, selain bersedia bersama-sama melindungi kestabilan kawasan Laut China Selatan," kata beliau.