Ikatan Kerjasama China, Kepulauan Solomon Mustahil Cetus Risiko

2022-04-21 13:17:26  CRI
Share with:


Kerjasama keselamatan antara China dengan Kepulauan Solomon tidak menyasarkan mana-mana pihak ketiga.

Pendirian itu diulangi menerusi jurucakap Kementerian Luar, Wang Wenbin semasa taklimat akhbar di Beijing pada Rabu.

Beliau berkata, jalinan tersebut tidak akan menggantikan mekanisme kerjasama serupa dua hala dan pelbagai hala yang sedia ada di Kepulauan Solomon.

Mengulas lanjut mengenai kebimbangan Amerika Syarikat (AS) terhadap kerjasama berkenaan, Wang mempersoalkan dari mana tercetusnya risiko tinggi kepada Washington.

“Jika mengikut logik AS, adakah negara kepulauan Pasifik hanya boleh menjalin kerjasama seumpama dengan AS dan beberapa sekutu Rumah Putih?

“Kalau begitu, adakah ia bermakna, kerjasama dengan negara lain menjadi ancaman,” katanya.

Jurucakap itu terus melontarkan soalan retorik kepada AS sama ada ia melayan negara kepulauan Pasifik sebagai merdeka dan berdaulat atau hanya untuk mengawal negara terbabit.