Masyarakat Antarabangsa Diseru Pertingkat Kerjasama Lawan Wabak

2022-04-22 12:03:22  CRI
Share with:



Peserta Sidang Tahunan Forum Asia Boao (BFA) 2022 mengemukakan cadangan untuk mengurangkan "jurang pengimunan" global bagi menangani pandemik COVID-19, selain turut bersetuju bahawa China adalah tenaga penting dalam usaha merealisasikannya.

 

Menurut statistik, jurang kadar pemvaksinan antara negara berpendapatan tinggi dengan negara berpendapatan rendah adalah besar apabila kadar tersebut mencapai 85 peratus di sesetengah negara maju, dan kurang daripada 10 peratus di hampir 20 buah negara.

 

Anggota penasihat BFA, merangkap Pengerusi Syarikat AstraZeneca, Leif Johanssen menyatakan bahawa kerjasama kapasiti penghasilan antarabangsa perlu ditingkatkan untuk mengurangkan “jurang pengimunan”.

 

"Kebanyakan vaksin dihasilkan di negara maju dan kilang penghasilan boleh dibina di lebih banyak tempat lagi untuk mengubah situasi tersebut.

 

"Dengan itu, masalah penghasilan dan pengagihan vaksin boleh diselesaikan secara lebih pantas," ujar beliau.

 

Untuk rekod, China telah membekalkan 2.1 bilion dos vaksin kepada lebih 120 buah negara dan pertubuhan antarabangsa serta mengadakan kerjasama teknologi penghasilan vaksin dengan lebih 20 buah negara.

 

Naib Ketua Jabatan Kerjasama Pembangunan Antarabangsa Negara China, Deng Boqing pula menyatakan kapasiti penghasilan vaksin COVID-19 China di luar wilayah telah mencatat satu bilion dos.

 

Beliau berkata, China bersedia untuk terus mengintensifkan kerjasama masyarakat antarabangsa agar memberi sumbangan dalam mengurangkan “jurang pengimunan”.