China Beri Sumbangan Penting dalam Pencegahan dan Rawatan Malaria Global: Xi

2022-04-25 13:30:57  CRI
Share with:

 Artemisinin, iaitu ubat anti-malaria yang berkesan pertama ditemui dan berjaya diekstrak oleh China telah membantu negara ini menghapuskan penyakit berjangkit itu.

"China turut aktif mempromosikan penggunaan artemisinin di seluruh dunia melalui pelbagai saluran melibatkan pemberian ubat-ubatan, bantuan teknikal dan pembinaan pusat antimalaria, serta penyediaan latihan kepada kakitangan perubatan.

"Ia sekali gus menyaksikan berjuta-juta nyawa di dunia khususnya di negara membangun berjaya diselamatkan," kata Presiden China, Xi Jinping dalam perutusan tahniahnya kepada Forum Antarabangsa Membina Komuniti Kesihatan Manusia sempena ulang tahun ke-50 artemisinin, hari ini.

Menurut Xi, China komited berganding bahu dengan masyarakat antarabangsa untuk mempergiatkan pertukaran dan kerjasama dalam bidang kesihatan awam, bersama-sama menghadapi cabaran global, serta menggalakkan pembinaan bersama komuniti kesihatan manusia.

Forum anjuran bersama Agensi Kerjasama Pembangunan Antarabangsa China, Suruhanjaya Kesihatan Negara China, dan Pentadbiran Perubatan Tradisional China sempena Hari Pencegahan dan Kawalan Malaria Sedunia turut dihadiri oleh duta asing dan ketua pertubuhan antarabangsa di China.

Sehingga kini, China telah melaksanakan lebih 300 projek bantuan antimalaria, membina pusat pencegahan dan kawalan malaria di 30 buah negara, menghantar pasukan perubatan terdiri 28,000 orang ke 72 negara dan wilayah, selain melatih puluhan ribu petugas teknikal antimalaria untuk negara membangun.