China Gigih Kekang Varian Omicron

2022-04-26 14:38:43  CRI
Share with:

 China tetap tidak akan 'berbaring' tatkala menghadapi penularan COVID-19 varian Omicron, sebaliknya akan mempergiat usaha membendung penularan wabak itu.

Demikian dinyatakan oleh jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin dalam sidang akhbar pada Isnin.

Mengulas mengenai beberapa pekeliling yang dikeluarkan oleh kerajaan Beijing tentang langkah-langkah melawan wabak pusingan baharu, Wang berkata, dasar 'dinamik sifar COVID-19' serta peraturan-peraturan yang dilaksanakan sekarang ini adalah berasaskan sains dan cadangan pakar, dan ia bersesuaian dengan keadaan dan prinsip Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Ini adalah bagi menjamin keselamatan nyawa dan kesihatan penduduk tempatan dan warga asing di negara ini, selain menyumbang kepada usaha mengekang wabak di dunia.

Statistik terkini menunjukkan, kadar kematian COVID-19 di China berada pada nisbah empat dalam setiap sejuta orang pada 2021, iaitu hanya 1/606 berbanding kadar kematian penyakit tersebut di Amerika Syarikat (AS).

Wang turut tidak menafikan bahawa sebarang langkah mengekang wabak pasti akan memberikan kesan kepada kehidupan rakyat dan ini tidak boleh dielakkan di mana-mana negara.

"Berbeza dengan negara-negara lain adalah kebanyakan rakyat China memahami serta menyokong dasar dan langkah-langkah diambil kerajaan China dan penuh keyakinan untuk membendung wabak," ujarnya lagi.