China, Malaysia Terus Naik Taraf 'Dua Negara Dua Taman'
'Dua negara dua taman' merupakan projek kerjasama yang penting antara kerajaan China dan Malaysia di bawah inisiatif dan galakan langsung oleh pemimpin kedua-dua negara.
Projek itu termasuk Taman Perindustrian Qinzhou di China dan Taman Perindustrian Kuantan di Malaysia.
Forum pelaburan Malaysia-China(Guangxi) sempena meraikan ulang tahun ke-10 penubuhan 'dua negara dua taman' anjuran bersama kerajaan wilayah Guangxi dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI) diadakan di Nanning, ibu kota Guangxi, pada Selasa.
Diadakan secara hibrid, forum kali ini bertemakan 'dua negara dua taman: bersama-sama menyambut pasaran terbuka RCEP dan membina bersama-sama rantai industri merentasi negara'.
Forum yang ditonton oleh lebih 500 ribu orang menerusi dalam talian itu menyaksikan 11 kontrak bernilai RMB2 bilion (RM1.37bilion) berjaya ditandatangani oleh syarikat kedua-dua negara.
Kerjasama tersebut melibatkan projek logistik penting yang menyokong rantai industri merentasi negara yang berdasarkan 'dua taman' dan 'dua pelabuhan' termasuk logistik rantaian sejuk, serta peningkatan perdagangan komoditi yang menikmati dasar keutamaan RCEP seperti perdagangan komoditi logam bukan ferus, sarang burung dan durian.
Selain itu, Taman Perindustrian Qinzhou, Taman Perindustrian Kuantan dan Zon Rintis Perdagangan Bebas Guangxi China juga mengadakan sesi promosi untuk memperkenalkan keadaan pembangunan dan dasar penarikan pelaburan di taman masing-masing serta menarik pelabur dari China dan pelbagai negara lain.
China dan Malaysia akan terus mendorong penaiktarafan 'dua negara dua taman', mengambil peluang baik dari pelaksanaan RCEP dan membina saluran dan platform yang lebih baik kepada syarikat dari kedua-dua negara untuk berkongsi peluang pelaburan dan kerjasama.