China Jalankan Ekspedisi Saintifik di Gunung Qomolangma

2022-04-29 14:52:12  CRI
Share with:

China melancarkan ekspedisi saintifik terhadap Gunung Qomolangma, puncak tertinggi di dunia yang terletak di sempadan China-Nepal pada Khamis.

Ekspedisi saintifik yang disertai lebih 270 ahli penyelidik merupakan sebahagian daripada penyelidikan saintifik kali kedua China terhadap Dataran Tinggi Qinghai-Tibet yang dimulakan pada 2017.

Dataran Tinggi Qinghai-Tibet cukup sinonim dengan gelaran seperti 'Bumbung Dunia', 'Menara Air Asia', dan 'Kutub Ketiga Bumi', serta berperanan sebagai penjamin keselamatan ekologi yang penting bagi China.

Teknologi, kaedah dan cara yang paling maju akan digunakan dalam ekspedisi kali ini dengan tujuan untuk mengkaji isu-isu saintifik utama seperti sinergi angin barat-monson, perubahan menara air Asia, sistem ekologi dan biodiversiti, serta kegiatan manusia di kawasan Gunung Qomolangma.

Pasukan ekspedisi juga akan mengkaji perubahan alam sekitar, perubahan kepekatan gas rumah hijau, penyesuaian manusia terhadap cuaca ekstrem khususnya di kawasan beraltitud tinggi di kawasan Qomolangma, di sebalik pemanasan global.

Ia kemudiannya akan digunakan untuk membantu menyusun rancangan inovatif dan saintifik China bagi memelihara alam sekitar di Gunung Qomolangma.

Yao Tandong, ahli akademik Akademi Sains China dan kapten pasukan ekspedisi saintifik Qinghai-Tibet kedua menyatakan ekspedisi terdahulu tertumpu kepada ketinggiannya. 

Beliau berkata, untuk misi kali ini, pihaknya akan menjalankan penyelidikan menyeluruh termasuk atmosfera, air, ekologi, dan proses permukaan Bumi. 

Untuk rekod, salah satu misi yang istimewa dan sangat penting dalam ekspedisi kali ini adalah untuk membina lapan stesen cuaca dengan ketinggian antara 5,200 meter hingga 8,800 meter dari paras laut.

Selepas stesen cuaca yang terletak pada ketinggian 8,800 meter itu siap, ia akan menjadi stesen cuaca automatik tertinggi di dunia.

Ekspedisi saintifik yang bernama “Misi Kemuncak” ini dijangka akan berlangsung hingga hujung Mei.