Masyarakat Antarabangsa Diseru Bersama Tangani Impak Krisis Ukraine

2022-05-06 13:25:09  CRI
Share with:

Usaha mendorong gencatan senjata perlu diperkasakan bagi menamatkan konflik antara Rusia dan Ukraine pada ketika ini, kata Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Zhang Jun.

Beliau turut mengulangi seruan China supaya pihak-pihak terbabit menahan diri dengan sedapat mungkin, menjamin keselamatan rakyat jelata dan mengelak kerosakan kemudahan awam.

Di samping itu, golongan lemah termasuk wanita dan kanak-kanak perlu diberi prioriti dalam memperoleh bantuan kemanusiaan.

Beliau berkata demikian dalam sesi perbahasan Majlis Keselamatan PBB (UNSC) mengenai isu Ukraine yang berlangsung pada Khamis.  

Zhang juga melahirkan rasa bimbang terhadap kemungkinan konflik itu berlarutan lama dan tersebar ke lingkungan lebih luas.

Tegas beliau, penghantaran senjata tidak akan membawa kedamaian, dan tiada pemenang dalam konflik.

Rusia dan Ukraine perlu meneruskan rundingan dengan mengatasi kesulitan, dan masyarakat antarabangsa hendaklah mencipta syarat yang kondusif untuk itu.

Menurutnya, pertempuran yang berlarutan dan sekatan yang menyeluruh tanpa batas menyebabkan pelbagai negara, khususnya negara membangun terbeban dengan lonjakan harga bahan makanan dan minyak.

Justeru, masyarakat antarabangsa perlu memperkasa penyelarasan dasar makro, dan berusaha bersama bagi menangani kesan limpahan daripada krisis Ukraine.

Zhang turut menyeru supaya pelbagai negara mentaati komitmen terhadap Piagam PBB, memegang prinsip keselamatan tidak boleh dibahagikan, serta menggembleng tenaga ke arah kerangka keselamatan global dan serantau yang seimbang, efektif dan mampan.