Lima Letupan Gegar Selatan Filipina Menjelang Pilihan Raya
Sekurang-kurangnya lapan cedera dalam lima letupan bom tangan yang menggegarkan wilayah Maguindanao, selatan Filipina pada malam menjelang pilihan raya, Ahad.
Antara mangsa terbabit termasuk beberapa guru dan penyokong calon tempatan yang sedang menunggu pengagihan mesin mengundi.
Setakat ini, tiada kumpulan atau individu yang mengaku bertanggungjawab atas serangan tersebut. Siasatan berkenaan sedang dijalankan.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Filipina, keadaan berjaya dikawal dan pengundian akan diadakan mengikut jadual.
Difahamkan, pengundian pilihan raya Filipina bermula pada pukul 6 pagi hari ini.
Lebih 65.7 juta warga dijangka keluar mengundi di 37,211 pusat pengundian yang dibuka di seluruh negara.