Main Helah Basi, Undang Mudarat kepada Dunia

2022-05-11 14:13:59  CRI
Share with:



Minggu lepas, Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) menaikkan kadar faedah sebanyak 50 mata asas dan ia akan mula mengurangkan kunci kira-kiranya pada Jun, dalam usaha mengawal kadar inflasi tertinggi sejak 1981.

Keputusan itu turut mencetuskan kebimbangan masyarakat antarabangsa bahawa ekonomi global dan pasaran kewangan akan terus terencat.

Tak kira harga barang yang melambung tinggi akibat kadar faedah sifar dan dasar pelonggaran kuantitatif (QE) sebelum ini, atau pun dasar monetari yang mengalami perubahan drastik ketika ini, negara itu mempergunakan hegemoni dolar AS menyebabkan dunia terdedah kepada risiko.

Ia memberi impak besar kepada entiti ekonomi baru muncul yang sedang bertungkus-lumus memulihkan pertumbuhan pasca pandemik COVID-19.

Biarpun meningkatkan daya tarikan aset dolar AS, kenaikan kadar faedah oleh Fed mendatangkan risiko kepada pasaran baru muncul yang bakal mengalami aliran keluar modal dan kesusutan nilai mata wang.

Selain itu, kejatuhan nilai mata wang lain ekoran kenaikan dolar AS juga akan melemahkan kuasa beli dalam kalangan rakyat negara lain dan mengganggu proses pemulihan ekonomi negara membangun.

Hakikatnya, sejak dolar AS bergelar mata wang rizab dunia, negara itu selalu mengambil kesempatan mengaut laba daripada modus operandi yang berkali-kali dimainkannya, iaitu mengurangkan atau menaikkan kadar faedah.

Perlu diingat bahawa apabila keadaan ekonomi AS menjadi merosot, pemerintahan negara itu tidak pernah melakukan muhasabah, sebaliknya memainkan helah basi iaitu mencari kambing hitam dan mengalihkan perhatian masyarakat terhadap masalah domestik.

Perbuatan itu tidak bertanggungjawab kepada rakyat sendiri, malah juga bermudarat kepada dunia.