Manfaat Kerjasama Bilateral

2022-05-12 12:43:20  CRI
Share with:

Walau apa pun perubahan yang berlaku dalam dunia ataupun situasi politik dalaman Malaysia, persahabatan Putrajaya dengan Beijing tetap teguh. Berdepan dengan bencana atau cabaran semasa, kedua-dua negara masih berpegang kepada semangat 'berat sama dipikul, ringan sama dijinjing'.

 

Hubungan diplomatik Malaysia-China sudah melangkah usia ke-48 tahun. Pada 28 Mei - 2 Jun 1974, rombongan Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdul Razak telah berkunjung ke Beijing dan mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Republik Rakyat China, Mao Zedong dan Perdana Menteri, Zhou Enlai.

 

Selepas perjanjian terjalinnya hubungan diplomatik Malaysia-China pada 31 Mei 1974 yang ditandatangani oleh Tun Abdul Razak dan Zhou Enlai, sejak itu pemimpin Malaysia dan China bertukar-tukar kunjungan rasmi.

 

Malaysia merupakan negara pertama di ASEAN yang ada keyakinan untuk menjalinkan hubungan diplomatik dengan China. Banyak manfaat yang diterima oleh kerajaan dan rakyat Malaysia dan China sejak 48 tahun lalu.

 

Walaupun ketika perjanjian kerjasama hubungan itu terjalin, wujud suasana Perang Dingin dalam geopolitik antarabangsa. Namun Malaysia telah mengambil suatu langkah berani dan berisiko tinggi, sedangkan negara-negara lain di Asia Tenggara seperti Filipina mula menjalin hubungan dengan China pada 1975, Thailand (1975), Indonesia (1990), dan Singapura (1990).

 

Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing mengingatkan persahabatan China-Malaysia sentiasa berada di landasan yang betul.

 

Dalam ucapan beliau sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada awal 2022, era pasca-pandemik, e-dagang, ekonomi Internet, ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI) dan sebagainya akan menjadi bidang baharu yang memacu kerjasama China-Malaysia.

 

Ouyang juga menyatakan harapan bahawa kerjasama antara Malaysia dan China akan meningkat ke tahap baharu manakala kerjasama antara kedua-dua negara akan terus diperkukuh dalam era pasca pandemik Covid-19.

 

Malaysia sebagai negara jiran yang mesra China dan rakan kerjasama dalam Inisiatif Jalan dan Laluan (BRI) akan mendapat manfaat daripada pembangunan China dalam bentuk menambah pelaburan dan peluang serta berkongsi hasil pembangunan kedua-dua negara.

 

Putrajaya dan Beijing akan terus berusaha untuk mempercepatkan projek di bawah Inisiatif BRI termasuk 'Dua Negara Dua Taman' dan Landasan Rel Pantai Timur (ECRL) untuk merangsang momentum pembangunan mampan.

 

'Dua negara dua taman' merupakan projek kerjasama yang penting antara Taman Perindustrian Qinzhou di China dan Taman Perindustrian Kuantan di Malaysia.

 

Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Dr. Roy Anthony Rogers berpendapat berdasarkan hubungan perdagangan, tidak dinafikan China amat penting kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia. Pada masa yang sama Malaysia juga penting kepada China.

 

Menurut pakar pengajian antarabangsa dan strategik itu, dari segi kedudukan, Malaysia amat geostrategik kerana ia terletak di antara Laut China Selatan dengan Selat Melaka yang merupakan sebahagian laluan utama Maritime Silk Road (MSR).

 

Ia adalah laluan laut bagi BRI yang merupakan inisiatif strategik China untuk meningkatkan pelaburan dan memupuk kerjasama. Selain itu, Malaysia berkedudukan di tengah-tengah rantau Asia Tenggara berbanding dengan negara-negara lain.

 

Ini amat penting kerana ia adalah sebahagian daripada jalinan pelabuhan dan laluan perkapalan dalam MSR misalnya Pelabuhan Kuantan, Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Pulau Pinang.

 

Apabila projek ECRL siap menjelang 2026 barangan dagangan dari selatan China seperti pelabuhan Shenzhen, Guangzhou, Hong Kong boleh diangkut melalui ECRL ke Pelabuhan Klang dan ini dijangkakan boleh mengurangkan kesesakan kapal di Selat Melaka dan pergantungan kepada pelabuhan Singapura.

 

Malaysia adalah rakan dagang terbesar China dalam kalangan negara anggota ASEAN dan pada masa yang sama menjadi platform bagi firma China untuk menembusi pasaran ASEAN.

 

Manfaat daripada itu, jumlah dagangan antara China dan Malaysia mencecah AS$176.8 bilion (RM739 bilion) pada 2021 dengan pertumbuhan sebanyak 34.5 peratus di tengah-tengah usaha melawan Covid-19.

 

Selain pelaburan dan perdagangan, manfaat lain ialah Malaysia menjadi salah satu destinasi utama para pelajar China untuk melanjutkan pengajian di peringkat diploma hingga kedoktoran dalam pelbagai bidang sama ada di institut pengajian tinggi awam atau swasta.

 

Selain itu, ramai pelajar China datang ke Malaysia untuk mempelajari bahasa Inggeris secara intensif selama tiga bulan hingga setahun sebelum mereka melanjutkan pengajian di Britain, Australia dan Amerika Syarikat.

 

Dr. Roy Anthony berpendapat perkara ini berlaku kerana persepsi penduduk dan pemerintah China yang positif kepada Malaysia. Kedudukannya yang stabil dari segi keselamatan serta kualiti pendidikan yang tinggi setanding dengan negara-negara maju telah berjaya menarik ramai pelajar China ke Malaysia.

 

Di samping itu, manfaat yang rakyat Malaysia terima ialah menjadi destinasi utama para pelancong China.

 

Hasil kerjasama dan hubungan diplomatik yang baik Malaysia-China selama 48 tahun adalah jelas kedua-dua negara saling memerlukan satu sama lain seperti pepatah Cina - ‘emas senang diperolehi, sahabat karib lebih sukar dicari.’


Oleh Azman Anuar