China Kekal Destinasi Pelaburan Pilihan Utama

2022-05-14 14:02:41  CRI
Share with:

Menurut Kementerian Perdagangan China, penggunaan sebenar modal asing bagi empat bulan pertama tahun ini di seluruh negara dicatat sebanyak RMB478.61 bilion (RM309.3 bilion), naik 20.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Antaranya, kemasukan pelaburan asing menyasar industri teknologi meningkat 45.6 peratus, manakala terdapat 185 projek berskala besar tambahan dengan modal asing berkontrak lebih AS$100 juta (RM439.78 juta), purata 1.5 projek mega dilancarkan setiap hari.

Dalam mendepani unsur-unsur yang tidak dijangka seperti wabak COVID-19 berulang di dalam dan luar negeri serta situasi semasa antarabangsa, China masih mendapat tempat di hati pelabur asing sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif dalam persekitaran ketidaktentuan.

Sejak dua tahun lalu, aktiviti pelaburan rentas negara terencat akibat penularan wabak serta pelarasan rantaian bekalan dan perindustrian global.

Namun, China terus mengekalkan pertumbuhan mantap, didorong penggunaan modal asing. Angka direkodkan bagi tempoh empat bulan tersebut memperlihatkan prestasi pelaburan di China meneruskan trend yang memuaskan.

Pasaran China serta pertumbuhan ekonominya antara dua faktor utama yang menarik pelaburan syarikat multinasional.

Walaupun menghadapi pelbagai ujian, trend pertumbuhan ekonomi China buat jangka panjang tidak berubah.

Dalam persekitaran pertumbuhan yang mantap, syarikat asing mendapat lebih rasa selamat. Pada masa sama, pasaran raksasa China dapat menjanjikan pulangan stabil buat syarikat berkenaan, sekali gus mengukuhkan keyakinan mereka dalam menambah pelaburan.

Selama bertahun-tahun, selain terus memperluas keterbukaan pada tahap lebih tinggi, China melakukan yang terbaik untuk memberi kemudahan kepada pelabur asing dengan menumpukan aspek keinstitusian seperti menerusi pelaksanaan Undang-undang Pelaburan Asing.

Langkah seumpama turut meningkatkan keyakinan golongan berkenaan untuk menanam modal di negara ini.