Pakar: Negara BRI Perlu Galakkan Penyelarasan, Manfaatkan BRI Sebaiknya

2022-05-15 15:37:36  CRI
Share with:

Negara-negara yang terlibat dengan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) memerlukan penyelarasan dalam dasar pembangunan negara masing-masing.

Menurut Felo Kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Dr. Oh Ei Sun, setiap negara mempunyai keperluan berbeza dalam tempoh endemik untuk memulihkan perkembangan ekonomi.

“Misalnya, Malaysia memerlukan pelaburan dan pada masa sama juga memerlukan sektor pelancongan untuk diseleraskan secepat mungkin, sekali gus membolehkan pemulihan dapat dipercepatkan,” ujarnya.

Selain itu, Dr. Oh turut berharap agar lebih banyak usaha ditaruhkan untuk mempromosi BRI dalam kalangan orang awam.

Beliau berkata, meskipun terdapat banyak infrastruktur yang dibina khususnya di Asia Tenggara, namun rakyat masih kurang arif untuk memanfaatkan infrastruktur tersebut bagi memperbaiki kehidupan mereka.

“Contohnya, kereta api laju yang dibina boleh digunakan untuk menghantar barangan-barangan dari kawasan pedalaman ke pelabuhan, seterusnya dieksport ke luar,” kata Dr. Oh.

Beliau berkata demikian ketika diwawancara dalam program Agenda Awani Asia, pada Sabtu sempena ulang tahun kelima penganjuran Forum Jalur dan Laluan untuk Kerjasama Antarabangsa (BRF) edisi pertama.

Dr. Oh berpendapat, BRI bukan sahaja melibatkan jalinan infrastruktur, malah merapatkan hubungan antara rakyat di negara-negara yang mengambil bahagian dalam inisiatif tersebut.