Tujuh Negara ASEAN Komited Sokong Pemulihan Sektor Penerbangan
Menteri-menteri pengangkutan dari tujuh negara ASEAN komited bekerjasama rapat untuk merancakkan semula sektor penerbangan rantau ini.
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan Sidang Kemuncak Penerbangan Changi (CAS) pada Selasa, menteri pengangkutan dari Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei, Kemboja, Filipina dan Thailand berjanji untuk bekerjasama dalam bidang peningkatan keupayaan pengangkutan, pembangunan mampan serta keselamatan bagi pemulihan sektor penerbangan.
Ketujuh-tujuh negara tersebut berjanji menyokong kerjasama rapat antara negara, pertubuhan antarabangsa dan sektor terbabit untuk membina semula dan memulihkan perhubungan dalam bidang penerbangan, di samping memperkasa interaksi antara sektor pengangktuan, kesihatan awam dan institusi imigresen bagi menjamin keselamatan dan kecekapan pelancongan penerbangan rentas sempadan dan aliran pengembara.
Selain itu, pelbagai negara terbabit juga komited berusaha bersama untuk berkongsi pengetahuan, membangunkan pasaran penerbangan ASEAN dan memperkasa perhubungan antara negara Asia Tenggara dengan rantau lain dalam sektor penerbangan.