Memperkukuh Peranan BRICS dalam Pembangunan Sejagat

2022-05-21 13:52:46  CRI
Share with:

Presiden China, Xi Jinping dalam ucapan yang disampaikan dalam majlis perasmian Mesyuarat Menteri-Menteri Luar BRICS melalui pautan video pada malam kelmarin telah membentangkan secara mendalam tentang isu keselamatan dan pembangunan. Beliau menekankan, negara-negara BRICS selaku kuasa yang positif dan konstruktif dalam masyarakat antarabangsa sepatutnya mengukuhkan keyakinan, dan berani merintis jalan yang penuh dengan ranjau dan duri supaya dapat menyuntik tenaga positif dalam memantapkan hubungan antarabangsa yang sedang berada dalam pergolakan.

Keselamatan politik merupakan tonggak utama kerjasama BRICS. Dalam ucapan kelmarin, Presiden Xi sekali lagi menegaskan peri pentingnya Inisiatif Keselamatan Sejagat yang diajukan beliau terdahulu. Xi menekankan negara-negara BRICS harus saling mempertimbangkan kepentingan teras dan keprihatinan utama masing-masing, menghormati kedaulatan, keselamatan dan kepentingan pembangunan masing-masing, menentang amalan hegemonisme dan politik kuasa pembuli, menghindari mentaliti Perang Dingin dan perseteruan blok, dan bersama-sama membina komuniti keselamatan global.

Anjuran Presiden Xi yang amat realistik dan signifikan tersebut boleh dilihat sebagai panduan bagi negara BRICS dalam memupuk rasa saling percaya dalam bidang politik, dan mempertingkat kerjasama keselamatan.

Para Menteri-Menteri Luar BRICS menyatakan akan mengekalkan pelaksanaan dasar yang bebas dan berdikari, menyokong penyelesaian persengketaan melalui dialog serta menggesa negara maju mengambil dasar yang bertanggungjawab untuk memastikan negara negara membangun dan golongan yang lemah boleh mengelakkan diri daripada menderita pengaruh negatif akibat sekatan sepihak.

Serentak itu, pembangunan adalah satu lagi tugas yang mendesak bagi negara BRICS. Xi dalam ucapannya berharap agar semakin banyak pihak dijadikan relevan dalam bidang kerjasama sehingga tenaga penggerak perkembangan makin kuat. Ini sekali lagi menggambarkan semangat yang terbuka dan berkongsi.

Walaupun berdepan dengan wabak COVID-19 yang masih menular dan banyak cabaran yang wujud dalam bidang keselamatan antarabangsa serta pemulihan ekonomi, negara BRICS tetap boleh memainkan peranan yang istimewa dan menyumbangkan tenaga yang tersendiri kepada pembangunan sejagat, sekiranya mengekalkan fokus kepada dua bidang utama yakni keselamatan dan pembangunan serta berusaha menjadi teladan pada tiga aspek, iaitu ‘pemupukan rasa saling percaya dalam bidang politik’, ‘tindakan substantif’ dan ‘solidariti yang berdikari’.