Wang Yi: “Rangka Ekonomi Indo-Pasifik” AS Harus Dipersoal

2022-05-23 13:25:05  CRI
Share with:

China mengalu-alukan segala inisiatif untuk meningkatkan kerjasama serantau, di samping menentang sebarang komplot yang akan mencetuskan perpecahan atau konfrontasi.

Demikian dinyatakan ahli Dewan Negara yang juga Menteri Luar China, Wang Yi dalam sidang akhbar selepas bertemu dengan rakan sejawatnya dari Pakistan, Bilawal Bhutto Zardari di Guangzhou pada Ahad.

Ketika diminta mengulas mengenai pelancaran Rangka Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF) sempena lawatan Presiden Amerika Syarikat (AS) ke Asia, Wang Yi menyatakan bahawa niat di belakang rangka itu tidak jelas dan harus dipersoal. 

Beliau berkata, inisiatif yang bermanfaat bagi kerjasama serantau patut menggalakkan perdagangan bebas, memanfaatkan pemulihan ekonomi dunia, dan menggalakkan kerjasama yang terbuka.

Beliau menambah, China tidak mempunyai motif geopolitik untuk kepentingan sendiri, sebaliknya penuh dengan keikhlasan terhadap perpaduan dan kerjasama serantau. China tidak ingin berkonfrontasi dengan apa jua negara, dan hanya menumpu kepada pembangunan bersama serantau. Pasaran gergasi China terbuka kepada semua negara serantau, dan sekali gus mewujudkan situasi sama menang. 

Wang menegaskan, apa juga rangka yang ingin mengetepikan China pasti akan gagal.