Penumpang Perkhidmatan Kereta Api China-Laos Lepasi 3 Juta

2022-05-25 14:16:13  cri
Share with:

Jumlah penumpang kereta api China-Laos merekodkan 3.09 juta orang sejak perkhidmatan berkenaan mula beroperasi pada Disember 2021.

Menurut statistik yang diumumkan China Railway Kunming Group Co., Ltd, 2.71 juta daripadanya menaiki tren melalui stesen di bahagian China, dan 380,000 lagi menaiki melalui stesen di bahagian Laos.

Ketika ini, pihak pengendali giat mengadaptasikan jadual perkhidmatan tren dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan para penumpang.

Bagi stesen di bahagian China, rekod penumpang harian paling tinggi dicatatkan sebanyak 33,000 orang.

Bilangan penumpang melalui stesen di bahagian Laos juga menyaksikan peningkatan yang stabil, dengan rekod harian hampir 5,000 orang.

Difahamkan, pelbagai inisiatif turut dilaksanakan bagi memenuhi keperluan perjalanan rakyat Laos.

Sempena sambutan Pesta Songkran yang jatuh pada 13 April, perkhidmatan tren sederhana berkelajuan 120 kilometer sejam dari Vientiane ke Boten telah ditawarkan, dengan harga tiket lebih murah.

Sementara itu, tren yang menghubungkan Vientiane dengan Luang Prabang dan Muang Xai disediakan juga bagi memenuhi peningkatan keperluan penumpang tempatan sempena hari perayaan.

Untuk rekod, pelbagai pendekatan juga dilaksanakan bagi menambah baik perkhidmatan dan mempermudah perjalanan penumpang termasuk melanjutkan tempoh tempahan tiket serta membuka pusat jual tiket di bandar-bandar utama di Laos.