China, Indonesia Ikrar Perkasa Penyelarasan, Jayakan Sidang Kemuncak G20
China dan Indonesia komited memperkasakan komunikasi dan penyelarasan untuk memastikan kejayaan Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) di Bali pada November nanti.
Persepakatan itu dicapai semasa perbualan telefon antara Menteri Luar China, Wang Yi dengan rakan sejawatnya Retno Marsudi pada Rabu.
Wang yang juga Ahli Dewan Negara menyatakan bahawa tadbir urus global kini telah memasuki ‘detik Asia’.
“Tahun ini, Indonesia, Thailand dan Kemboja bakal menjadi hos beberapa mesyuarat multilateral penting, sementara China sedang giat membuat persiapan untuk pertemuan pemimpin negara BRICS.
“Berdepan situasi antarabangsa yang kompleks, negara Asia harus berperanan aktif dalam menggalakkan keamanan, kestabilan dan pembangunan baik peringkat serantau mahupun dunia,” ujar beliau.
Wang turut memetik Presiden Indonesia, Joko Widodo yang menekankan bahawa penubuhan G20 adalah sebagai forum ekonomi, dan ia bukan forum politik.
“Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) adalah platform yang sesuai untuk membincangkan isu politik serta keselamatan, dan G20 pula harus memfokuskan kepada penyelarasan dasar makroekonomi.
“China teguh menyokong peranan Indonesia sebagai negara pengerusi untuk memimpin G20 merealisasikan matlamat ditetapkan dan bergerak menuju hala tuju yang betul,” katanya.