China Janji Tanam 70b Pokok menjelang 2030

2022-05-26 14:49:27  CRI
Share with:

China berikrar akan menanam dan memulihara 70 bilion pokok menjelang 2030, sebagai menyahut inisiatif Forum Ekonomi Dunia (WEF) mengenai penanaman pokok sebanyak satu trilion di seluruh dunia.

Keputusan itu diumumkan utusan khas China bagi perubahan iklim, Xie Zhenhua ketika berucap pada sesi bertema “Lindungi Planet Kita dan Umat Manusia” sempena acara tahunan WEF 2022 di Davos, Switzerland, pada Selasa.

Xie menyifatkan komitmen itu sebagai tindakan penuh bertanggungjawab untuk menghijaukan planet, memerangi perubahan iklim serta meningkatkan kemampuan hutan menyerap dan menyimpan karbon.

Ia juga berdasarkan ikrar dibuat Presiden Xi Jinping pada 2020 untuk memastikan China mencapai matlamat puncak pelepasan karbon menjelang 2030 dan neutral karbon sebelum 2060.

Beliau turut menyatakan bahawa China sentiasa aktif dalam menggalakkan proses tadbir urus iklim global.

“Setelah menjadi tuan rumah Sidang Pemeterai Konvensyen Kepelbagaian Biologi ke-15 (COP15) di Kunming, kami (China) menerajui usaha melindungi sumber asli sendiri dan menggalakkan negara lain melakukan perkara yang sama,” tambah Xie.

Beliau menekankan bahawa China akan mengambil langkah-langkah konkrit untuk menterjemahkan iltizam berkenaan, antaranya termasuk menggubal dasar, mengubah pengeluaran tenaga dan memelihara simpanan karbon hutan dengan kepelbagaian semula jadinya.

“Kami akan memperkenalkan sistem dasar ‘1+N’, iaitu ‘1’ menjadi panduan teras mengenai neutral karbon, manakala 'N' merujuk kepada pelan tindakan untuk mencapainya.

“Ia akan menggalakkan transformasi tenaga ke arah hijau dan rendah karbon serta meningkatkan pemuliharaan sumber hutan sedia ada, sekali gus merupakan tindak balas terhadap inisiatif penanaman satu trilion pokok oleh WEF itu,” jelas Xie.