Santapan Minda: Dua Jiwa Bersua

2022-05-28 14:38:38  CRI
Share with:

Selamat Jalan Wahai Chai, Sahabatku

Oleh: Wang Changling (Dinasti Tang)

 

Sungai Yuan mengalir ke Wugang nun jauh di sana,

Di kala berjauhan, usahlah gundah-gulana.

Waima terpisah dek gunung, kita harungi hujan yang sama,

Di bawah cahaya bulan, dua jiwa bersua.

 

Huraian:

Penyajak tersohor pada zaman Dinasti Tang, Wang Changling meluahkan perasaan dilaluinya dalam puisi ini untuk menzahirkan daya ketahanan persahabatan sejati.

Si penyajak merakam detik-detik perpisahan dirinya bersama sahabat bergelar Chai. Tentunya, beliau ada perasaan sedih dan pilu ketika itu, namun Wang yakin jarak tidak akan memisahkan dua sahabat, sebaliknya mereka akan betah selamanya.

Kisah persahabatan kedua-dua orang biasa ini relevan dirujuk kepada hubungan antara dua buah negara.

Dijalin pada 31 Mei 1974, hubungan diplomatik antara China dengan Malaysia telah pun mengharungi pelbagai ujian dan dugaan, namun ia kekal utuh, malah terus berkembang.

Umpama kata pepatah, 'Biar jauh di mata, namun dekat di hati', hubungan erat itu takkan luntur. Selamat menyambut ulang tahun ke-48 hubungan diplomatik China-Malaysia!