China, Niue Ikrar Perkasa Kerjasama Bilateral

2022-05-30 12:15:47  CRI
Share with:

Ahli Dewan Negara China merangkap Menteri Luar, Wang Yi mengadakan pertemuan secara maya dengan Perdana Menteri Niue merangkap Menteri Luar, Dalton Tagelagi di Fiji pada Ahad.

Wang dalam pertemuan itu berkata, China dan Niue sentiasa saling menghormati dan saling menyokong, dan menyaksikan perkembangan hubungan yang mantap sejak terjalinnya ikatan diplomatik.

Menurutnya, kedua-dua negara telah menjalin perkongsian strategik menyeluruh dan memeterai dokumen kerjasama berorientasikan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).

Sementara itu, China menjadi rakan dagang kedua terbesar bagi Niue, dan kerjasama pragmatik kedua-dua negara meliputi bidang yang luas.

Wang turut menyatakan komitmen China untuk memperkasakan penyelarasan strategi dengan Niue bagi membangunkan BRI secara berkualiti tinggi, di samping mendorong kerjasama melibatkan infrastruktur, radio dan televisyen, ekonomi biru dan ubat-ubatan.  

Tagelagi berkata, kedua-dua pihak telah menjalankan kerjasama yang berkesan berdasarkan prinsip saling menghormati dan saling untung. China sentiasa mengambil berat terhadap keperluan Niue dan menghulurkan bantuan untuk melawan pandemik COVID-19.

Beliau turut menegaskan iltizam pihaknya untuk mempertahankan dasar satu China, dan berharap memperdalam lagi kerjasama dengan China serta bersama memacu kedamaian, pembangunan dan kemakmuran.