Wang Yi Berbincang dengan Setiausaha Agung PIF

2022-05-30 14:08:43  CRI
Share with:

China memuji kegigihan Setiausaha Agung Forum Kepulauan Pasifik (PIF), Henry Puna yang giat mendorong persahabatan dan kerjasama semua pihak.

Menurut Menteri Luar China, Wang Yi, PIF turut disifatkan sebagai antara pertubuhan kerajaan yang simbolik di Pasifik Selatan.

Demikian ujar beliau ketika menemui Setiausaha Agung PIF di Suva, Fiji pada Ahad.

"China mementingkan peranan forum terbabit dalam hal ehwal serantau dan telah mengirim perwakilan menghadiri aktiviti berkenaan sejak 30 tahun yang lalu.

"Di samping itu, China juga menubuhkan Tabung China-PIF dan menyediakan kemudahan kepada utusan sekritariat berkenaan.

"China bersedia mengintensifkan dialog, memperhebat kesalingpercayaan, mempertingkat kerjasama, sedaya upaya menyokong pembangunan forum, selain memperkukuh dan mengembangkan hubungan bilateral," ujar Wang.

Tambah beliau, China menyokong Strategi Pasifik Biru 2050, dan menanti-nantikan pertumbuhan baharu dalam pemeliharaan ekologi laut dan e-dagang.

Jelas Wang, penularan wabak tidak akan menghalang pembangunan China yang dinamik dalam ekonomi.

"China tidak berganjak daripada usaha memperluas, memperdalam dan mempertingkat keterbukaan, berkongsi hasil pembangunan, dan mengalu-alukan produk berkualiti Kepulauan Pasifik ke pasaran China.

"China telah menjalin hubungan diplomatik dengan Kepulauan Pasifik pada setengah abad yang lalu, dan bukannya baru datang ke Pasifik Selatan," ujarnya lagi.

Puna pula berkata, China adalah rakan dialog dan pembangunan penting bagi Kepulauan Pasifik, serta menyatakan negara ini telah membuat sumbangan signifikan kepada perkembangan serantau untuk sekian lama.

Beliau berkata, pihaknya menyambut baik usaha China memperkasakan penyelarasan strategi, memperluas kerjasama dalam ekonomi dan perdagangan, pendidikan, ekonomi biru, sekali gus merealisasikan pembangunan lestari serta memanfaatkan peluang China terutamanya kelebihan dalam ekonomi digital.