Hubungan Malaysia-China Bawa Situasi Menang-menang: Pakar

2022-05-31 11:32:39  cri
Share with:

Hubungan dua hala yang baik antara Malaysia dan China membawa situasi menang-menang kepada kedua-dua negara, khususnya dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).

Demikian ujar Pensyarah Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Roy Anthony Rogers ketika diminta mengulas tentang ulang tahun ke-48 hubungan diplomatik Malaysia-China.

Menurut beliau, kedua-dua negara sebenarnya saling memerlukan antara satu sama lain dan masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri.

“Sering kali kita lihat kepentingan China kepada Malaysia, kerana dari segi hubungan perdagangan atau rantaian bekalan, kita (Malaysia) sangat memerlukan perdagangan dan pelaburan dari China.

“Tetapi China juga memerlukan Malaysia kerana dari segi kedudukan, Malaysia terletak di tengah-tengah Asia Tenggara,” ujar Dr. Roy.

Menyentuh tentang peluang baharu yang boleh dirintis oleh kedua-dua negara, beliau berpendapat bahawa inisiatif Laluan Sutera Kesihatan boleh diketengahkan.

Dr. Roy berkata, ia berikutan faktor pandemik COVID-19 yang menimbulkan kesedaran berkaitan kesihatan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“BRI dahulunya sering membawa persepsi tentang pembinaan laluan kereta api atau lebuh raya, dan sekarang (kita) dah boleh ceburi (bidang) kesihatan.

“China antara negara yang berjaya membendung penularan COVID-19, justeru perkara yang boleh dipelajari dan teknologi yang boleh dikongsi perlu diberi perhatian sewajarnya,” ulas beliau lanjut.

Dalam pada itu, Dr. Roy turut menyatakan hubungan baik Malaysia dan China boleh dijadikan teladan kepada negara serantau yang lain.