Kerjasama Menang-Menang Rahsia Kejayaan Asia Pasifik
Resipi kejayaan Asia Pasifik adalah kerjasama menang-menang, bukannya konfrontasi campur-tolak.
Demikian ujar jurucakap Kementerian Luar China, Zhao Lijian sebagai respons terhadap inisiatif Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF).
Sebelum ini, bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik IPEF itu blok politik dengan tujuan untuk mengasingkan China.
Menurutnya, China menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara lain, namun ia diketepikan inisiatif berkenaan.
Pertumbuhan ekonomi memerlukan kestabilan, bukannya konflik. Amerika Syarikat (AS) nampaknya degil mengasingkan China dan mengerahkan kapal perang ke Laut China Selatan. Ini mungkin menyebabkan berlaku kejadian yang tidak diingini atau tindakan kekerasan dan peperangan, hingga menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara ASEAN.
Pada pandangan Tun, perlunya mengelak konflik antara AS dengan China daripada terus memburuk sekali gus mengekalkan kestabilan serantau.
Jurucakap itu turut menyahut kenyataan bekas Perdana Menteri tersebut dengan menyifatkannya sebagai tepat sekali.
"Kata-kata Tun Dr Mahathir merupakan suara hati kebanyakan negara di rantau ini, sekali gus menjelaskan perkara paling penting bagi negara berkenaan, iaitu ketenteraman rantau dan pertumbuhan ekonomi. Ia merupakan trend utama dan aspirasi semua pihak,” kata Zhao kepada media pada Isnin.
Beliau mencela AS menyimpang dari jalan yang betul dan mempolitikkan isu ekonomi hanya demi mengejar laba sendiri.
"Perbuatan menjejaskan kepentingan negara lain ini nescaya akan sampai ke jalan buntu,” tambah beliau.
Zhao turut berjanji China akan terus bersinergi dengan negara berkenaan untuk mengamalkan multilateralisme jitu, dan membina ekonomi serantau yang terbuka ke arah Asia Pasifik yang lebih cemerlang.