Harap Terus Saksikan Hubungan China-Malaysia Ditingkatkan ke Tahap Lebih Tinggi

2022-05-31 14:22:42  CRI
Share with:

Hari ini ulang tahun ke-48 terjalinnya hubungan diplomatik China-Malaysia. Pada 48 tahun yang lalu, Tun Razak sebagai pemimpin yang berpandang jauh, menjadikan Malaysia anggota ASEAN pertama menjalinkan hubungan diplomatik dengan China.

 

Perkembangan hubungan bilateral selepas itu berulang kali mecerminkan kebijaksanaan pemimpin kedua-dua negara. Untuk rekod, China telah 12 tahun berturut-turut menjadi rakan dagang terbesar bagi Malaysia, manakala Malaysia juga merupakan rakan dagang terbesar China di ASEAN.

 

Pemimpin kedua-dua negara selalu memberi sumbangan besar bagi menggalakan hubungan bilateral dan multilateral serantau. Dan Satria amat bangga pernah menyaksikan beberapa detik yang telah tercatat dalam sejarah hubungan bilateral kita.

 

Pada tahun 2010, Tun Abdullah bin Ahmad Badawi atau Pak Lah terpilih menjadi anggota Majlis Forum Asia Boao. Kita sering kali dengar kata-kata yang menyifatkan abad ke-21 sebagai Abad Asia. Tapi pada awal abad ini belum ada satu platform antarabangsa yang benar-benar dianjurkan oleh Asia untuk membahaskan masa depan Asia.

 

Dengan cadangan beberapa tokoh politik penting di rantau ini, Forum Asia Boao dirasmikan pada tahun 2001. Dalam lebih 20 tahun ini, Forum Asia Boao telah menjadi penjana penting bagi integrasi serantau. 

 

Pada tahun 2014, Satria pernah berpeluang bertemuramah dengan Pak Lah di Boao mengenai hubungan bilateral dan masa depan Asia.  

 

Pada bulan April tahun 2011, sempena genap 20 tahun terjalinnya hubungan dialog antara China dengan ASEAN, Perdana Menteri kedua-dua negara pada masa itu memutuskan membina taman perindustrian kembar di Qinzhou dan Kuantan.

 

Pada bulan Oktober itu juga, Perdana Menteri Malaysia ketika itu Datuk Seri Najib Tun Razak melawat China lagi untuk menghadiri Ekspo China-ASEAN. Satria berpeluang berbual-bual dengan beliau mengenai durian Musang King yang buat kali pertama memasuki pasaran China.

 

Pada 1 April 2012, Datuk Seri Najib melawat ke Qinzhou lagi untuk merasmikan projek pembinaan Taman Perindusterian China- Malaysia Qinzhou bersama-sama Perdana Menteri China pada masa itu Wen Jiabao. Satria juga berada di sana.

 

Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi satu-satunya pemimpin Malaysia yang tiga kali melawat China dalam tempoh setahun saja.

 

Pesefahaman antara rakyat juga amat dipentingkan oleh pemimpin kedua-dua negara. Pada hujung tahun 2014, Tan Sri Muhyiddin Yassin melawat ke Universiti Pengajian Asing Beijing (BFSU). Menurut beliau, hubungan kerjasama dalam bidang pendidikan antara Malaysia dan China kini menyaksikan perkembangan yang kian pesat, khususnya dalam program pertukaran pelajar dan pengajian bahasa antara satu sama lain.

 

Yang lebih membanggakan, bahagian Bahasa Melayu Kumpulan Media China (CMG) turut diberikan penghargaan yang tinggi oleh beliau atas sumbangan sebagai jambatan yang menghubungkan pendengar di sebahagian dunia melalui siaran berbahasa Melayu.

 

Persahabatan yang kukuh seperti saudara antara kedua-dua negara telah terikat selama kira-kira setengah abad. Kalau mengenang kembali kepada persahabatan dimulakan oleh Laksamana Zheng He (Cheng Ho), Sultan Muzaffar Shah dan Puteri Hang Li Po, ikatan ini telah bersejarah ratusan tahun.

 

Memandang ke masa depan, dengan potensi besar yang boleh diterokai, kemesraan kita pasti akan berterusan.

 

Ketika berbual-bual dengan Presiden Persatuan Persahabatan Malaysia China yang juga Presiden Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Dato’ Abdul Majid Ahmad Khan baru-baru ini, beliau menyifatkan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sebagai “game changer” yang akan membantu menarik kedatangan pelancong, pedagang dan pelabur, menggalakkan integrasi ekonomi, sekali gus mempererat hubungan rakyat antara negeri di pantai timur dengan bandar-bandar besar di Malaysia seperti Kuala Lumpur.

 

Selain projek infrastruktur, kerjasama dalam bidang kesihatan awam dan digital juga bakal menjadi bidang yang hangat dalam kerajsama bilateral.

 

Satria menanti-nantikan berpeluang terus menyaksikan hubungan kita terus ditingkatkan ke tahap yang lebih tinggi.