Hubungan Malaysia-China Dinamik, Berdaya Tahan: Tiong King Sing
Kedinamikan serta daya tahan tinggi hubungan Malaysia-China terserlah apabila jumlah dagangan dua hala merekodkan pertumbuhan kukuh sementara projek kerjasama utama terus digerakkan, biarpun berdepan pelbagai cabaran ketika ini.
Demikian kata utusan khas Perdana Menteri Malaysia bagi urusan China, Datuk Seri Tiong King Sing dalam perutusan tahniahnya sempena ulang tahun ke-48 hubungan diplomatik Malaysia-China, pada Isnin.
Beliau turut mengimbau kembali pencapaian dilakar kedua-dua negara dari segi kesalingpercayaan politik, penyelarasan dasar, integrasi ekonomi dan kesefahaman budaya, yang disifatkan membawa limpahan manfaat kepada rakyat.
Menurutnya, pelaksanaan perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) bukan sahaja akan terus menjana potensi perdagangan barangan antara Malaysia dan China, malah mendorong transformasi industri kedua-dua negara dan menyuntik momentum baharu untuk pembangunan ekonomi.
Untuk rekod, China muncul sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 13 tahun berturut-turut.