Ekonomi Shanghai Kembali Bernafas, Keyakinan Pelabur Asing Pulih

2022-06-02 12:08:17  CRI
Share with:

Kegiatan ekonomi Shanghai bergerak kembali mulai 1 Jun dan masyarakat tempatan lega dapat menjalani kehidupan seperti biasa, apabila wabak COVID-19 beransur reda.

Selaku hab kewangan dan perniagaan berprestij di dunia, bandar kosmopolitan yang pulih sepenuhnya daripada wabak itu diyakini dapat memantapkan kecekapan rantai bekalan sejagat, manakala pasaran penggunaan domestik yang kembali bernafas juga bakal membawa manfaat kepada perusahaan global.

Strategi ‘dinamik sifar COVID-19’ membawa Shanghai kembali kepada keadaan normal, sekali gus merupakan langkah yang amat diperlukan untuk melindungi rakyat dan mengekalkan pertumbuhan ekonomi jangka panjang.

Pendekatan itu bersasar kepada usaha menghapuskan wabak hingga mencapai hasil maksimum dengan kos minimum, iaitu memastikan nyawa rakyat dilindungi dan aktiviti ekonomi terjamin.

Bagi perusahaan, wabak hanya kesan jangka pendek, dan yang lebih penting adalah menyusun atur pelan pembangunan jangka panjang.

Justeru, Shanghai memperkenalkan siri inisiatif sebagai sokongan padu kepada syarikat asing yang mula menyambung semula kegiatan pengeluaran, sekali gus mengukuhkan keyakinan mereka terhadap pasaran China.

Hakikatnya, daya tarikan yang tersendiri, antaranya saiz pasaran yang luas, suasana perniagaan yang kondusif serta daya inovasi yang kukuh dan keupayaan menangkis risiko menjadikan China destinasi pelaburan yang kompetitif bagi modal global.  

Kesan jangka pendek wabak tidak akan mengubah asas pertumbuhan ekonomi jangka panjang China.

Di mana-mana era, pasaran penuh dengan cabaran yang berlainan, dan perkara yang perlu dilakukan adalah meneroka peluang dalam cabaran tersebut.

Pasaran China menjadi pilihan utama para pelabur asing untuk merancang pelan pembangunan mereka buat jangka panjang.