COVID-19: Sinovac, Kemboja Tandatangani MoU Pembotolan Vaksin
Sinovac Biotech dan syarikat perkilangan ubat-ubatan Kemboja telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Pembotolan Vaksin COVID-19 serta Perjanjian Pembelian dan Pembekalan Vaksin COVID-19 secara maya pada Rabu.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Duta Besar China ke Kemboja, Wang Wentian dan Menteri Kesihatan Kemboja, Mam Bunheng.
Wang dalam ucapannya menyebut, sejak penularan wabak, China dan Kemboja berganding bahu dan saling membantu, sehingga menjadi teladan kerjasama antarabangsa menangkis wabak.
Pada Mac, pemimpin kedua-dua negara merancang pelan baharu untuk mendorong pembentukan komuniti berkongsi nasib yang strategik, sekali gus mencerminkan hala tuju perkembangan bilateral.
"MoU dan perjanjian yang ditandatangani kali ini akan menyediakan asas yang kukuh bagi pembinaan kilang pembotolan dalam kerjasama selanjutnya.
"Perusahaan kedua-dua pihak diharap mengintensifkan kerjasama, mempercepat penyiapan produk, dan secepat mungkin menjayakan kilang terbabit agar memanfaatkan rakyat Kemboja, di samping menyumbang kepada pembentukan komuniti berkongsi nasib yang lebih signifikan," ujar Wang.
Sementera itu, Bunheng pula mengucapkan tahniah dan memuji penandatanganan MoU tersebut.
Jelas beliau, Kemboja mampu membotolkan vaksin dengan rujukan China dan senarai penggunaan kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), untuk memenuhi permintaan rakyat dan warga asing di Kemboja.
Bunheng berkata, Kemboja akan membeli vaksin keluaran kilang berkenaan untuk kegunaan domestik pada tiga tahun akan datang.
Beliau turut menyifatkan usahasama syarikat Kemboja dengan Sinovac Biotech itu mampu memastikan kelestarian produk strategik itu.