AS, New Zealand Ada Motif Tersembunyi

2022-06-02 13:41:44  CRI
Share with:

Beijing berpendirian tegas menentang tindakan Amerika Syarikat (AS) dan New Zealand memutarbelitkan dan memburuk-burukkan kerjasama biasa antara China dengan negara kepulauan Pasifik.

Bantahan itu dibuat menerusi jurucakap Kementerian Luar Zhao Lijian dalam sesi taklimat pada Rabu, ketika mengulas satu kenyataan bersama menyasar China yang dikeluarkan AS dan New Zealand.

Zhao berkata kedua-dua negara itu sengaja mengheboh-hebohkan isu Laut China Selatan, mencampuri hal ehwal dalaman China dengan membuat kenyataan yang tidak bertanggungjawab berhubung isu Taiwan, Xinjiang dan Hong Kong.

Selasa lalu, Presiden AS Joe Biden dilaporkan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern dan mengeluarkan kenyataan bersama.

Menerusi kenyataan itu, mereka melahirkan kebimbangan terhadap persaingan strategik yang makin sengit di rantau Pasifik, serta pemeteraian perjanjian kerangka kerjasama keselamatan China-Kepulauan Solomon.

Berhubung hal ini, Zhao mengulangi pendirian China bahawa kolaborasi berkenaan adalah kondusif bagi menggalakkan kedamaian dan pembangunan Kepulauan Solomon dan rantau Pasifik Selatan.

"Kerjasama itu tidak menyasar pihak ketiga, dan juga tiada niat untuk membina pangkalan tentera.

"AS dan New Zealand mempunyai motif tersembunyi untuk menyerang dan menghitamkan imej China menggunakan maklumat palsu,” ujarnya,

Zhao turut menegaskan bahawa urusan Taiwan, Xinjiang dan Hong Kong merupakan hal ehwal dalaman China yang tidak boleh dicampuri mana-mana kuasa luar.