China, Kepulauan Cook Ikrar Perkasa Kerjasama Pragmatik

2022-06-03 12:17:44  CRI
Share with:

China akan merebut peluang daripada ulang tahun ke-25 hubungan diplomatik dengan Kepulauan Cook untuk memperkukuh rasa saling percaya dan kerjasama pragmatik demi limpahan manfaat buat rakyat. 

Demikian dinyatakan Menteri Luar China, Wang Yi dalam pertemuan secara maya dengan rakan sejawatnya Mark Brown pada Khamis.

Wang berkata pertukaran dan kerjasama dalam pelbagai bidang terus diperkasa sepanjang 25 tahun lalu, menyaksikan jumlah dagangan antara kedua-dua negara melonjak hampir 300 kali ganda.

“China bersedia merancang kerjasama pada fasa seterusnya mengikut keperluan pembangunan Kepulauan Cook.

“Kolaborasi membabitkan pelancongan, infrastruktur dan pendidikan boleh terus diperluas bagi membantu negara itu memulihkan ekonomi,” ujar beliau.

Brown pula berkata keeratan hubungan Kepulauan Cook-China memperlihatkan bahawa China sentiasa melayan negara kecil dengan penuh keikhlasan ke arah situasi untung-untung.

“Kami (Kepulauan Cook) amat menghargai ikatan dengan China dan bersedia bersama-sama membawa kemajuan lebih besar kepada hubungan bilateral dalam tempoh 25 tahun akan datang,” katanya.

Brown turut menyuarakan kesediaannya untuk bersama-sama negara kepulauan Pasifik lain bagi mengukuhkan penyelarasan dan menghadapi pelbagai cabaran akibat pandemik COVID-19.