Sudahlah Basi Main ‘Kad Taiwan’
Timbalan Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (AS), Sarah Bianchi dalam pertemuan dengan wakil Taiwan, China menerusi pautan video pada Rabu, mengumumkan pelancaran apa yang dipanggil "Inisiatif Dagangan Abad ke-21" AS-Taiwan.
Sandiwara politik bertopengkan kolaborasi ekonomi itu hanyalah tipu muslihat basi yang dimainkan AS untuk mengekang pembangunan China dengan menggunakan isu Taiwan.
Tindakan AS seumpama melanggar komitmen dibuatnya dalam tiga pengumuman bersama China-AS, hanya akan menjerumuskan hubungan dua hala ke dalam situasi berbahaya.
Perlu diberi perhatian bahawa seminggu sebelum ini, pemimpin AS telah pun mengumumkan pelancaran Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF) dalam tempoh lawatan ke Jepun.
IPEF menggembar-gemburkan pencantasan hubungan dengan rantaian bekalan China, sambil membangkitkan isu-isu berkisar sektor ekonomi digital, kestabilan rantaian bekalan, infrastruktur tenaga bersih dan antirasuah.
Menurut laporan berkaitan, AS dan Taiwan akan menggerakkan kerjasama dalam dagangan digital, kemudahan kastam dan usaha memerangi rasuah mengikut inisiatif berkenaan.
Ternyata wujudnya banyak persamaan antara IPEF dan inisiatif tersebut.
Bagi pihak berkuasa Parti Progresif Demokratik (DPP), inisiatif itu sebenarnya satu "hadiah sagu hati" untuk Taiwan yang dikecualikan daripada IPEF.
Sedangkan, AS berniat membentuk "lingkungan kecil ekonomi" di rantau Asia dengan menggunakan sepenuhnya Taiwan sebagai buah caturnya.
Isu Taiwan yang melibatkan kepentingan teras China adalah isu yang paling penting dan sensitif dalam hubungan China-AS.
China berulang kali menyatakan pendirian bahawa ikatan kedua-dua negara akan terkena impak serius sekiranya isu Taiwan tidak ditangani dengan baik.
Sejak Joe Biden memegang jawatan presiden, kerajaan AS berkali-kali berjanji akan mematuhi dasar satu China dan tidak menyokong "kemerdekaan Taiwan", namun tindakannya telah lari ke arah bertentangan.