Baiki Hubungan China, Australia menerusi Tindakan Konkrit: Wang Yi

2022-06-04 13:17:22  CRI
Share with:

Persepsi positif amat diperlukan ketika mengendalikan hubungan antara Beijing dengan Canberra, kata ahli Dewan Negara China Wang Yi.

Beliau berkata, rasa hormat antara satu sama lain serta usaha mencari titik persamaan sambil mengekalkan perbezaan, menjadi syarat utama yang boleh membawa hubungan dua hala kembali ke landasan betul.

Wang yang juga merangkap Menteri Luar menyatakan bahawa kebuntuan hubungan dua negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini berpunca daripada kedegilan sesetengah kuasa politik di Australia melayan China sebagai lawan, bukannya rakan kongsi.

“Mereka melihat pembangunan China sebagai ancaman, bukannya peluang. Ini menyebabkan dasar negara itu terhadap China yang positif dan pragmatik, kini mengalami kemunduran,” ujar beliau sebagai respons terhadap prospek hubungan China-Australia semasa lawatannya ke Papua New Guinea (PNG) pada 3 Jun.

Wang turut menegaskan, tiada mod pandu sendiri atau ‘auto pilot’ diletakkan untuk membaiki hubungan kedua-dua negara tersebut.

“Perlunya tindakan konkrit dilakukan untuk menambah baik hubungan berkenaan. Ia merupakan aspirasi rakyat dua negara, malah juga sejajar dengan aliran perkembangan zaman,” katanya.