Xi Senantiasa Cakna Pembangunan Hijau

2022-06-04 17:41:30  CRI
Share with:

Daripada membina China yang indah dan mempercepat transformasi ke arah karbon rendah, hinggalah bersama membina Bumi yang indah dan menggalakkan tadbir urus iklim global, segala janji dan komitmen dibuat China akan terus diterjemah dalam bentuk tindakan.

Siri gagasan dan strategi baharu mengenai pembangunan tamadun ekologi yang diajukan Presiden Xi Jinping membolehkan dunia lebih memahami resipi China untuk menempuh jalan pembangunan hijau, sekali gus menyumbang kebijaksanaan untuk usaha serupa di peringkat global. 

“Alam sekitar tidak boleh dikorbankan demi pembangunan ekonomi”, “gunung hijau dan air jernih bagaikan timbunan emas dan perak”…kata-kata tersebut sering meniti bibir Presiden Xi.

Berpandukan gagasan tersebut, China telah melakar pencapaian cemerlang dalam usaha pembangunan hijau sepanjang sepuluh tahun lalu.

Masalah jerebu di kawasan utara berjaya diatasi, Saihanba yang dulunya tandus kini dilitupi hutan yang luas terbentang, gurun Mu Us berubah wajah menjadi ladang subur, begitu banyak kampung yang indah siap dibina hingga menjadi tempat membibit nostalgia… kesemua hasilnya cukup membanggakan.

Dalam sidang kemuncak mengenai iklim yang diadakan sempena Hari Bumi Sedunia 2021, Presiden Xi telah memperincikan inti pati teras konsep komuniti berkongsi nasib membabitkan manusia dan alam yang hidup secara harmoni.

Beliau menyeru supaya masyarakat antarabangsa bergabung tenaga ke arah mewujudkan simbiosis antara manusia dan alam menerusi ambisi dan tindakan luar biasa.