Menteri Luar China, Malaysia Bual Melalui Telefon

2022-06-05 13:06:47  CRI
Share with:

China dan negara-negara kepulauan Pasifik akan terus bersinergi untuk membangunkan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), di samping memperdalam kerjasama yang saling untung demi pembangunan bersama.

Demikian dinyatakan Menteri Luar China, Wang Yi dalam perbualan telefon dengan Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Abdullah pada Sabtu, semasa singgah di Malaysia selepas mengakhiri lawatan ke negara kepulauan Pasifik Selatan.

Saifuddin mengucapkan tahniah atas kejayaan lawatan Wang Yi kali ini dan menyifatkan China sebagai negara yang menggalas tanggungjawab penting di rantau Asia Pasifik.

Beliau berkata, China dinanti-nantikan terus memainkan peranannya sebagai peneraju dalam memperhebat kerjasama Selatan-Selatan, sekali gus mendorong rantau Pasifik ke arah lebih harmoni.

Wang dan Saifuddin turut melahirkan kebimbangan terhadap perkembangan situasi semasa di rantau Eropah, khususnya kesan daripada krisis Ukraine.

Mereka sependapat bahawa negara-negara serantau harus mengukuhkan komunikasi strategik serta perpaduan dan kolaborasi, sambil bersinergi memelihara keamanan dan pembangunan yang tidak mudah diperoleh.

Pihak-pihak terbabit diharap mengekalkan kerangka kerjasama serantau sedia ada, dan mengelakkan penyusupan masuk mentaliti Perang Dingin yang kemungkinan mencetuskan konfrontasi baharu.

Dua menteri itu turut menzahirkan harapan supaya kuasa besar lain juga dapat memainkan peranan konstruktif bagi memelihara kedamaian dan kestabilan Asia Pasifik.