China Mahu Perkukuh Hubungan dengan Timor Leste

2022-06-05 13:38:26  CRI
Share with:

Sambutan ulang tahun ke-20 jalinan diplomatik antara China dengan Timor Leste merupakan kesempatan untuk merumuskan hasil serta pengalaman dan mengorak langkah ke depan dengan melonjakkan hubungan sedia ada ke tahap yang lebih tinggi.

Demikian ujar ahli Dewan Negara China merangkap Menteri Luar, Wang Yi semasa pertemuan dengan Presiden Timor Leste Jose Ramos-Horta di Dili, pada Sabtu.

Beliau berkata, perkongsian komprehensif yang dijalin antara dua negara akan diperkukuh lagi sehingga menunjukkan contoh baik wujudnya saling hormat, sama rata, saling untung dan berkembang bersama antara negara yang besar dan yang kecil.

Wang menyarankan kedua-dua pihak supaya memantapkan pelaksanaan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) menerusi pembinaan berkualiti tinggi. 

Beliau berjanji China akan memberi sokongan kepada Timor Leste untuk meningkatkan keupayaan pembangunan secara mandiri, mempercepat proses pemodenan pertanian dan pengindustrian, serta merealisasikan pembangunan pelbagai dimensi.

Selain itu, syarikat China akan meneruskan pelaburan di negara itu untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat tempatan.