China Seru Gencatan Senjata Elakkan Trauma Wanita dan Kanak-kanak

2022-06-07 13:21:57  CRI
Share with:

Gencatan senjata dan pemulihan keamanan perlu diwujudkan bagi mengelakkan wanita dan kanak-kanak daripada menderita trauma perang pada asasnya, kata naib wakil tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Dai Bing pada Isnin.

Dalam mesyuarat Majlis Keselamatan PBB mengenai keganasan seksual dan pemerdagangan manusia dalam konteks konflik Ukraine, Dai berkata, tindakan menyediakan senjata ke Ukraine atau mengenakan sekatan ke atas Rusia hanya akan mengakibatkan konflik terbabit berlarutan lama dan kesan negatifnya diperluaskan. 

Menurut Dai, konflik Ukraine telah membawa malapetaka serius terhadap rakyat negara itu. Wanita dan kanak-kanak menghadapi risiko keselamatan yang sangat membimbangkan.

 “Sejak tercetusnya konflik itu, 6.8 juta rakyat Ukraine dengan kebanyakannya adalah wanita dan kanak-kanak, telah merentasi sempadan ke negara jiran untuk mendapat perlindungan. 

“China menyeru kerjasama antarabangsa untuk mengenal pasti dan menghukum mereka yang terlibat dalam tindakan jenayah yang berkaitan bagi mengelakkan wanita dan kanak-kanak daripada menderita ‘trauma sekunder’.

 “Agensi PBB yang berkaitan harus memperkasa pemantauan dan analisis dan menyediakan sokongan profesional dan teknikal untuk memerangi pemerdagangan manusia, eksploitasi seksual, dan penderaan seksual terhadap pelarian Ukraine,” katanya.

Selain itu, Dai Bing juga menzahirkan harapan agar Rusia, Ukraine, PBB dan Turkiye berusaha menangani masalah makanan di Ukriane di samping memupuk hubungan yang saling mempercayai antara pihak terlibat dalam rundingan yang akan diadakan nanti.

 “China menyeru semua pihak berkaitan mengutamakan kedamaian dan keselamatan antarabangsa dan serantau, memainkan peranan membina bagi menyelesaikan krisis Ukraine dengan baik,” katanya.