Penghantaran Kontena Kerta Api China-Vietnam Naik 20 Peratus
Jumlah kereta api kargo yang beroperasi antara China dengan Vietnam direkodkan sebanyak 140 buah untuk tempoh lima bulan pertama tahun ini.
Menurut pengumuman Kumpulan Biro Nanning Kereta Api China, angka itu sekali gus menyaksikan pertambahan sebanyak 20.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Dalam pada itu, jumlah penghantaran kontena dicatatkan sebanyak 4,176 TEU iaitu meningkat 26.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, sekali gus menggalakkan kestabilan rantaian perindustrian dan bekalan.
Difahamkan, antara barangan buatan China yang dihantar kereta api itu adalah termasuk jentera dan peralatan, baja kimia, dan kertas dari wilayah Guangxi, serta kain, penjana elektrik, dan produk elektronik dari Chongqing, Guangdong, dan Hubei.
Laporan turut menunjukkan bahawa produk buatan China semakin diminati ramai di negara ASEAN, manakala barangan yang diimport pula terutamanya adalah buah-buahan Asia Tenggara, serbuk zink oksida, dan pakaian termasuk hampir 30,000 tan barangan rantaian sejuk rentas sempadan, yang menyaksikan peningkatan sebanyak 107.2 peratus.
Untuk menghadapi peningkatan barangan eksport akhir-akhir ini, pihak berkuasa kereta api di Guangxi berusaha meningkatkan kecekapan pengangkutan dan kualiti pengoperasian kereta api antara China dengan Vietnam serta memanfaatkan sistem pelabuhan digital bagi menawarkan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan.
Pada masa ini, jenis barangan yang dibawa oleh kereta api rentas sempadan Guangxi China-Vietnam telah berkembang daripada bahan kimia dan keluli pada 10 tahun lalu kepada lebih 200 jenis barangan seperti produk elektronik, bahan perubatan China, buah-buahan, mesin dan peralatan.
Memetik kenyataan Kumpulan Biro Nanning Kereta Api China, lebih banyak produk berkualiti tinggi China dihantar ke negara-negara yang terlibat dalam inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), selain membantu perusahaan China memasuki pasaran ASEAN.
Jelas pengendali kereta api itu lagi, mereka juga akan menggalakkan kestabilan rantaian perindustrian dan rantaian bekalan bagi memastikan pengangkutan terjamin serta mempromosikan tahap keterbukaan yang lebih tinggi kepada luar.