WTDC Seru Kurangkan Jurang Digital Global

2022-06-08 14:36:07  CRI
Share with:

 

Sidang Pembangunan Telekomunikasi Dunia (WTDC) ke-8 telah dirasmikan di Kigali, ibu kota Rwanda kelmarin. Para peserta sidang tersebut menyeru masyarakat antarabangsa agar meningkatkan penyelarasan dan berusaha mengurangkan jurang digital global.

 

Ketua Setiausaha Persatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), Zhao Houlin dalam upacara perasmian menyatakan bahawa terdapat hampir 5 bilion orang yang mempunyai akses ke internet di seluruh dunia pada masa ini, namun masih terdapat hampir 3 bilion lagi tidak, dengan kebanyakannya berasal dari negara-negara membangun dan kawasan desa yang miskin. Beliau berkata, pihaknya berkewajiban membantu mereka mendapat akses ke internet, di samping mendorong pembangunan teknologi baharu demi matlamat pembangunan berterusan PBB.

 

Setiausaha Agung PBB, António Guterres pula dalam ucapannya menerusi video menyatakan bahawa kita menghadapi rintangan dalam proses memperjuangkan matlamat pembangunan berterusan. Teknologi digital mempunyai potensi besar dalam mengatasi rintangan tersebut sementara pula menghadapi cabaran besar.

 

WTDC edisi 2022 yang julung kalinya diadakan di benua Afrika pada 6 hingga 16 Jun ini menyaksikan penglibatan lebih seribu wakil dari 100 buah negara dan kawasan. Para peserta akan membincangkan pendekatan baharu pembangunan inovasi, model kerjasama baharu dalam bidang kesalinghubungan dan langkah penyelesaian digital demi matlamat pembangunan berterusan PBB.