Ekonomi China Pamer Daya Tahan yang Kuat

2022-06-10 13:30:01  CRI
Share with:

Jumlah nilai import dan eksport China untuk bulan Mei dicatatkan sebanyak USD537.74 bilion (RM2.36 trilion), meningkat sebanyak 11.1 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, memetik statistik Jabatan Am Kastam China (GAC) pada Khamis.

Daripada jumlah tersebut, nilai eksport meningkat sebanyak 16.9 peratus, iaitu jauh melebihi ramalan sebanyak 8 peratus yang diberikan oleh 28 ahli ekonomi ketika ditemuramah oleh Reuters.

Dengan nilai import yang turut meningkat 4 peratus, ia sekali gus memperlihatkan kestabilan pertumbuhan import dan eksport China sepanjang tempoh lima bulan lalu, serta daya tahan yang kuat dan keupayaan pemulihan kendiri dalam tempoh melawan pandemik.

Syarikat Internationale Nederlanden Group (ING) percaya bahawa eksport China mampu mencapai kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 15 peratus sekiranya negara ini berjaya mewujudkan pencegahan dan kawalan pandemik dan faktor permintaan global terus mengukuh.

Difahamkan, kedudukan China sebagai kunci dalam rantaian bekalan global, dan sentimen permintaan global terhadap barangan China yang terus kukuh merupakan antara faktor keyakinan yang terbit dalam kalangan penganalisis profesional terhadap perdagangan luar China.

Menurut statistik GAC, eksport China ke ASEAN iaitu rakan dagang terbesarnya berjaya mencapai RMB1.35 trilion (RM888 bilion) dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, yang menyaksikan peningkatan sebanyak 12 peratus.

Manakala, eksport ke rakan dagang kedua terbesarnya, iaitu Kesatuan Eropah (EU) pula meningkat sebanyak 17.4 peratus, dan eksport kepada Amerika Syarikat (AS), rakan dagang ketiga terbesarnya turut meningkat 12.9 peratus.

Trend baik pertumbuhan ekonomi China dalam jangka panjang merupakan salah satu faktor keyakinan penganalisis terhadap China.

Menurut mereka, pelbagai tempat di China, termasuk Shanghai dan Beijing mutakhir ini telah memperkenalkan pakej dasar menstabilkan pembangunan ekonomi untuk memberikan sokongan dasar kepada syarikat yang terjejas akibat pandemik.

Justeru, mereka menyatakan bahawa langkah-langkah tersebut akan merangsang daya hidup entiti pasaran dengan berkesan.