Singapura, China Bersedia Kukuhkan Hubungan Bilateral
Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong menyatakan, Singapura dan China perlu terus memperkukuh kerjasama substantif dalam usaha memerangi COVID-19 dan dalam bidang ekonomi dan perdagangan bagi mengekalkan trend perkembangan hubungan dua hala yang baik.
Lee berkata demikian dalam pertemuan dengan anggota Dewan Negara China yang juga Menteri Pertahanan Wei Fenghe pada Jumaat di Singapura.
Dalam pertemuan mereka, Lee menyatakan bahawa perkongsian kerjasama dalam segenap aspek antara Singapura dengan China mencerminkan hubungan bilateral yang istimewa dan berkaliber tinggi.
“Memandangkan situasi dunia dan rantau Asia Pasifik mengalami perubahan baharu pada masa ini, semua negara rantau ini diharapkan mengukuhkan komunikasi dan meningkatkan rasa saling percaya untuk bersama-sama memberikan sumbangan yang positif kepada keamanan dan kestabilan serantau,”kata Lee.
Wei Fenghe pula berkata hubungan China-Singapura berkembang secara berterusan di bawah bimbingan strategik Presiden China Xi Jinping dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong, dan turut memainkan peranan teladan di rantau Asia Pasifik.
“Tatkala dunia mengalami perubahan drastik yang tidak pernah berada dalam seabad lalu dan bergelut dengan penularan pandemik, China dan Singapura harus terus memupuk rasa saling percaya dalam bidang pelaksanaan strategi, mencari lebih banyak persamaan yang berkaitan dengan kepentingan masing-masing, dan saling menyokong dalam isu-isu mengenai kepentingan dan keprihatinan utama antara satu sama lain, untuk menyuntik tenaga positif kepada keamanan dan kestabilan serantau,” kata Wei.
Wei menambah bahawa hubungan ketenteraan kedua-dua negara menyaksikan perkembangan yang stabil pada beberapa tahun kebelakangan ini, dan kedua-dua pihak harus terus meningkatkan pertukaran peringkat tinggi dan kerjasama praktik bagi memperkukuh hubungan ketenteraan antara kedua-dua negara.
Sebelum ini, Wei sudah mengadakan perbincangan dengan Menteri Pertahanan Singapura, Ng Eng Hen pada hari Khamis.
Kedua-dua pihak telah bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu yang melibatkan situasi antarabangsa dan serantau, Laut China Selatan, dan krisis Ukraine.