Alami Suka dan Duka, Persahabatan Kekal Abadi

2022-06-12 13:45:22  CRI
Share with:


Aktiviti sambutan ulang tahun ke-48 hubungan diplomatik China-Malaysia anjuran Persatuan Persahabatan Malaysia-China (PPMC) telah diadakan di Taman Persahabatan China-Malaysia, Putrajaya pagi semalam.

 

Duta Besar China ke negara itu, Ouyang Yujing, Ketua PPMC, Dato’ Abdul Majid, Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadlun Mak Ujud, wakil bagi Utusan Khas Perdana Menteri terhadap China, Datuk Seri Tiong King Sing dan hampir 200 orang dari pelbagai persatuan, kalangan perusahaan dan wakil pelbagai institusi pendidikan telah menghadiri aktiviti tersebut.

 

Ouyang Yujing dalam ucapannya menyatakan kerjasama interaksi pelbagai bidang antara China-Malaysia sudah mencapai hasil yang memuaskan dan membawa manfaat kepada rakyat kedua-dua negara. Walaupun dilanda pandemik COVID-19, perdagangan China-Malaysia tetap meningkat 34.5% sehingga mencatat rekod baharu pada 2021, dengan nilai keseluruhannya mencatat USD176.8 bilion (RM778.3 bilion). Oleh itu, China telah menjadi rakan dagang terbesar bagi Malaysia untuk 13 tahun berturut-turut. Rakyat kedua-dua negara pula memilih saling membantu ketika menghadapi penularan wabak. Terdapat sebanyak 40 juta dos vaksin yang sudah disumbangkan China yang dilihat sebagai sokongan besar bagi rancangan pemvaksinan di Malaysia.

 

Sementara itu, Ouyang menggalakkan pelajar muda kedua-dua negara terus menjadi pewaris hubungan persahabatan China-Malaysia. Perkembangan hubungan bilateral ke arah yang berkualiti tinggi telah menyediakan wahana dan peluang kepada golongan belia kedua-dua negara.

 

 

Dato' Abdul Majid pula berkata, kedua-dua negara mengekalkan pertukaran rapat dalam bidang politik, ekonomi dan kebudayaan sejak terjalinnya hubungan diplomatik pada 48 tahun yang lalu, dan mempunyai pendirian mirip dalam banyak isu serantau dan antarabangsa. Beliau yakin persahabatan kedua-dua negara akan terus berkembang secara stabil dan sihat, dan berharap agar generasi baharu boleh terus berusaha demi menyuburkan persahabatan Malaysia-China dan menyumbang kepada keamanan serta pembangunan serantau.

 





Ketika mengunjungi taman tersebut dalam hujan gerimis, Ouyang Yujing, Dato' Abdul Majid dan tetamu lain telah menanam pokok persahabatan bersama-sama dengan wakil remaja, dan mengunjungi pameran gambar sejarah Ulang Tahun Ke-48 Hubungan Diplomatik China-Malaysia.