Xi Zahir Ucapan Tahniah Ulang Tahun ke-120 Ta Kung Pao

2022-06-13 13:19:45  CRI
Share with:

Presiden China Xi Jinping pada Ahad menyampaikan perutusan tahniah melalui sepucuk surat kepada Ta Kung Pao, akhbar berbahasa Cina tertua yang berpangkalan di Hong Kong, sempena ulang tahun ke-120 penerbitannya.

Xi dalam suratnya menzahirkan harapan supaya penerbit akhbar itu menyemarakkan lagi semangat patriotisme, memantapkan pembangunan inovatif dan terus menyumbang ke arah memastikan kesinambungan dasar ‘satu negara, dua sistem’.

Beliau menyifatkan peranan dimainkan Ta Kung Pao sepanjang lebih satu abad sebagai konstruktif dan positif.

Ia berperanan penting dalam konteks membina negara China baharu, melaksanakan dasar pembaharuan dan pintu terbuka, serta menggerakkan proses pemodenan.

Xi turut memuji fungsi surat khabar tempatan itu dalam konteks kepulangan Hong Kong ke tanah air serta usaha mengekalkan kemakmuran dan kestabilan wilayah berkenaan.

Pada era baharu, Ta Kung Pao terus bersuara lantang dan konsisten demi nilai perpaduan yang telah lama terjalin dalam kalangan masyarakat serta pertukaran dan interaksi lebih rancak antara Hong Kong dengan Tanah Besar.

Xi berharap surat khabar itu terus mengembangkan pengaruhnya, dan menyumbang lebih banyak ke arah merealisasikan impian kebangkitan nusa dan bangsa.

Ta Kung Pao yang diasaskan pada 17 Jun 1902 merupakan surat khabar berbahasa Cina tertua yang masih dalam edaran di dunia.

Pada 2016, ia digabungkan dengan Wen Wei Po sehingga wujudnya Kumpulan Media Hong Kong Ta Kung Wen Wei dengan matlamat memberikan khidmat kepada pembaca Cina di seluruh dunia.