China, AS Sepakat Tingkat Dialog, Elak Salah Faham

2022-06-14 14:55:00  CRI
Share with:

China dan Amerika Syarikat (AS) bersetuju untuk bersama-sama melaksanakan konsensus yang dicapai pemimpin kedua-dua negara selain meningkatkan dialog, mengurangkan salah faham dan menangani percanggahan dengan baik.

Kesepakatan itu hasil pertemuan antara anggota Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC), Yang Jiechi dengan Penasihat Keselamatan Rumah Putih, Jake Sullivan di Luxembourg pada Isnin.

Yang berkata Presiden Joe Biden berulang kali memberitahu Presiden Xi Jinping bahawa AS menolak daripada mencetuskan Perang Dingin baharu atau mengubah sistem China.

“Presiden Biden pernah berjanji untuk tidak menentang China melalui pengukuhan pakatan, atau menyokong ‘kemerdekaan Taiwan’ dan berkonflik dengan China,” katanya yang juga ketua Pejabat Suruhanjaya Hal Ehwal Luar Jawatankuasa Pusat PKC.

Namun, Yang memberitahu bahawa ada beberapa tindakan AS menjadi antara punca hubungan kedua-dua negara terjerumus ke dalam situasi sukar.

“Ia bukan sahaja merosakkan kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang, malah tidak selaras dengan kepentingan kedua-dua pihak dan negara lain.

“Hubungan Beijing-Washington kini berada di persimpangan. Tiga prinsip yang diketengahkan Presiden Xi, iaitu saling hormat, hidup bersama secara damai, dan penerokaan kerjasama ke arah situasi sama menang adalah pendekatan yang wajar bagi kedua-dua negara,” katanya.

Yang turut menyifatkan prinsip itu selari dengan kepentingan asas rakyat dua negara, serta aspirasi masyarakat antarabangsa.

“Prinsip berkenaan perlu menjadi pegangan asas dalam membangunkan hubungan China-AS.

“Kami sudi bekerjasama dengan AS untuk meneroka cara dan kaedah ke arah merealisasikan matlamat itu,” tambah beliau.

Yang sekali lagi mengingatkan AS supaya menjalankan interaksi positif dengan China dan melakukan usaha bersepadu dalam mengekalkan kemakmuran, ketenteraman dan pembangunan di rantau Asia Pasifik.

Menyentuh mengenai kedaulatan negara dan keutuhan wilayah, beliau menegaskan bahawa Beijing sentiasa konsisten dalam pendiriannya mengenai isu Taiwan.

“Urusan dalaman China menolak sebarang campur tangan asing, dan sebarang percubaan untuk menjejaskan integriti wilayah pasti akan gagal,” kata Yang.