AS Diminta Patuh Komitmen

2022-06-15 14:25:31  CRI
Share with:

China dan Amerika Syarikat (AS) bersetuju untuk bersama-sama melaksanakan konsensus yang dicapai pemimpin kedua-dua negara, meningkatkan dialog, di samping mengurangkan salah faham dan menangani perselisihan dengan baik.

Persetujuan itu hasil pertemuan antara Ahli Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC), Yang Jiechi dengan Penasihat Keselamatan Rumah Putih, Jake Sullivan di Luxembourg pada Isnin.

Pada masa ini, hubungan China-AS berada di persimpangan yang kritikal. Pembuat keputusan bukan sahaja perlu tahu ke mana hendak pergi, tetapi juga harus mengambil tindakan berkenaan.

Presiden Xi Jinping telah mengulangi prinsip saling menghormati, hidup bersama secara damai, dan kerjasama menang-menang. Manakala Presiden Biden juga telah menegaskan pendiriannya iaitu tidak melakukan "Perang Dingin baharu", tidak cuba mengubah sistem China, tidak menentang China melalui peningkatan hubungan sekutu, dan tidak menyokong "kemerdekaan Taiwan", serta tidak mahu berkonflik dengan China. Inilah konsensus pemimpin kedua-dua negara.

Walau bagaimanapun, konsensus penting tersebut tidak dilaksanakan oleh Washington setakat ini, malah tindakan AS bertentangan dengan kenyataan pemimpinnya.

Adalah nyata bahawa perkembangan hubungan China-AS bukanlah kewajipan sepihak China, dan juga bukanlah model asimetri di mana pihak AS membuat kekacauan dan China menanggung tanggungjawabnya. Halangan utama dalam hubungan China-AS pada masa ini adalah AS membawa hubungan ini keluar dari landasan yang betul.

Bagi pihak AS, sama ada penularan pandemik COVID-19, inflasi yang tinggi, ataupun konflik perkauman dan perpecahan sosial yang semakin serius di negara itu, semuanya cabaran bagi strategi diplomatik kerajaan AS, khususnya dasar terhadap China.

Walau bagaimanapun, pengalaman sejarah dan realiti semasa menunjukkan bahawa jika AS mempunyai kesungguhan yang sama seperti China, mengikut tiga prinsip yang dikemukakan oleh pemimpin China, dan secara pragmatik mendorong hubungan China-AS kembali ke landasan pembangunan yang normal, ia bukan sahaja akan mendapat manfaat, tetapi juga membantu menangani masalah yang dihadapi AS pada masa ini.